Enjin dua lejang mempunyai prinsip pengendalian yang berbeza daripada enjin empat lejang iaitu enjin dua lejang melengkapkan keempat-empat proses (masukan, mampatan, kuasa dan ekzos) yang dilakukan pada enjin empat lejang dalam setiap dua lejang, ataupun setiap satu putaran enjin sahaja. Ia dilakukan dengan menggunakan bahagian permulaan lejang mampatan bagi melaksanakan fungsi lejang masukan dan ekzos secara serentak. Dengan ini, enjin dua lejang menghasilkan kuasa spesifik yang lebih tinggi, menjadikannya sesuai bagi kerja-kerja ringan dan mudah alih seperti gergaji rantai sehinggalah kepada penggunaan berskala besar seperti lokomotif kereta api.
Dari segi pelinciran, enjin petrol dua lejang memerlukan minyak pelincir khas yang boleh terbakar, dikenali sebagai minyak 2T disebabkan operasi kitar dua lejang turut melibatkan ruangan dalam kotak engkol, tidak seperti kotak engkol enjin empat lejang yang terasing sepenuhnya daripada kebuk pembakaran. Pembakaran minyak 2T ini merupakan satu penyebab utama kepada pencemaran yang dihasilkan oleh enjin petrol dua lejang..
Penciptaan kitar dua lejang mula dilakukan oleh Dugald Clark sekitar 1880 dengan enjin yang mempunyai silinder pengepam berasingan. Enjin pengepaman kotak engkol, yang menggunakan kotak engkol sebagai pengepam, telah dicipta oleh Joseph Day (dan Frederick Cock bagi liang masukan kawalan omboh).
KITARAN ENJIN 2 LEJANG
Enjin dua lejang beroperasi dengan hanya dua lejang, berbanding empat lejang bagi enjin kitar Otto:
- Kuasa/ekzos - Peringkat ini bermula sebaik sahaja campuran udara-bahan api terbakar, menyebabkan gas pengembangan mengembang dan memaksa omboh turun ke bawah, menghasilkan kuasa pada enjin. Gerakan omboh ke bawah juga memampatkan campuran udara-bahan api-pelincir, maka apabila omboh terus bergerak ke bawah sehingga membuka liang masukan dan liang ekzos, gerakan omboh ke bawah memaksa campuran udara-bahan api-pelincir yang segar masuk ke dalam kebuk pembakaran dan memaksa gas ekzos keluar.
- Masukan/mampatan - Omboh bergerak ke atas dan memampatkan campuran udara-bahan api-pelincir. Gerakan omboh ke atas menyebabkan tekanan udara di dalam kotak engkol menjadi rendah, membolehkan campuran udara-bahan api-pelincir dari karburetor masuk ke dalam kotak engkol melalui satu injap dedaun. Campuran udara-bahan api-pelincir termampat dibakar, dan kitar dua lejang berulang.
No comments:
Post a Comment